04 August, 2011

Amalan di bulan Ramadan

Dah 4 Ramadan 1432H hari ini bersamaan 4 Ogos 2011..SMS hari ini dari teman-teman rakan seperjuangan mengingatkan tentang hari ini menjadi sejarah tamatnya perkhidmatan dalam dunia ketenteraan, penuh nostalgia suka duka, pahit manis..meredah hutan belukar sempadan Msia-Thai, indahnya salji tika Ex Suman Warrior di New Zealand, bertuahnya diri menjadi guru kelas/tenaga pengajar di SPPTD, segaknya diri ketika dilantik sebagai  Pengawas Peperiksaan SPM di sekolah menengah sekitar Port Dickson..ermmm pantas masa berlalu..teringat snorkeling Pulau Kapas, canopy walk Taman Negara Pahang, cantiknya burung-burung di Fraser Hill..pengalaman ketika di Sungai Buloh, banyak sebenarnya kisah suka duka..semuanya tinggal nostalgia..esok hari baru sebagai 'pesara'..semoga hari mendatang  akan terus dipayungi rahmat Allah s.w.t..setakat ini masih terus berlibur, santai dengan kehidupan.
Ramadan 1432H yang berbeza, semoga diberkati setiap amalan..insyaallah..
Antara amalan-amalan yang menjadi keutamaan sepanjang Bulan Ramadan ini :
1. Berpuasa dengan ikhlas,hanya inginkan keredhaan Allah.
2. Jauhi sama sekali dari percubaan merosakkan puasa dengan berbuka tanpa keuzuran kerana amalan itu termasuk dosa besar yang dilaknati Allah.
3. Hidupkan malam-malam Ramadan dengan ibadah seperti solat Tarawih dan Tahajud, terutama malam Lailatul Qadar.
4. Pastikan sumber makanan dan minuman di sepanjang bulan ini jauh dari sumber haram atau yang meragukan supaya puasa dan doa kita dimakbulkan.
5. Berusaha untuk berbuka puasa secara beramai-ramai kerana pahalanya lebih besar dari berbuka bersendirian.
6. Sentiasa lakukan solat lima waktu secara berjemaah.
7. Perbanyakkan bersedekah kerana sedekah pada bulan ini lebih afdal berbanding bulan-bulan yang lain.
8. Awasilah diri kita dari menghabiskan waktu tanpa faedah kerana Ramadan merupakan bulan ibadah.
9. Jika berupaya, kerjakan umrah kerana umrah pada bulan Ramadan bersamaan dengan sekali ibadah haji.
10. Laksanakan ibadah puasa dengan bersahur pada akhir malamnya kerana sahur itu sunnah Rasulullah SAW.
11. Segera berbuka setelah masuk waktunya.
12. Sempurnakan mandi wajib sebelum naik fajar, supaya dapat meneruskan ibadah puasa dalam keadaan bersih dan suci dari hadas besar.
13. Banyakkan zikir terutama membaca Al-Quran yang merupakan sebaik-baik cara berzikir, supaya kita beroleh syafaat al-quran pada hari akhirat.
14. Pelihara lidah dari berdusta, mengumpat, maki hamun dan sebagainya kerana amalan ini pada bulan Ramadan lebih besar dosanya.
15. Segala gerak-geri dan tindakan kita hendaklah tenang, tidak mudah beremosi dan tidak terkeluar dari batas-batas kesederhanaan.
16. Pastikan kita dalam bulan Ramadan ini tidak melakukan sesuatu yang dilarang Allah dan mentaati segala suruhan Nya.
17. Banyakkan zikir dan istighfar dan memohon rahmat daripada Nya terutama ketika berbuka dan bersahur.
18. Banyakkan doa untuk diri sendiri, ibu bapa, anak-anak dan seluruh umat Islam supaya sama-sama dikurniakan kesejahteraan.

19. Bertaubat kepada Allah dengan taubat yang bersungguh-sungguh dengan meninggalkan maksiat, menyesali segala dosa-dosa yang lalu dan tidak akan mengulanginya lagi pada masa akan datang.

20. Setelah selesai puasa Ramadan, teruskan dengan berpuasa enam hari pada bulan syawal kerana ganjarannyaseumpama berpuasa sepanjang tahun.
                                                                  
                            *Petikan dari Mingguan Wanita :30 Syaaban - 6 Ramadan 1430H


Akhir kata, salam Ramadan, selamat berpuasa, semoga kita semua akan sentiasa dipayungi rahmat Allah s.w.t..insyaallah.

No comments:

Post a Comment