06 November, 2010

Day Trip di Bukit Tinggi (5 November 2010)

Sepetang di Colmar Tropicale,Berjaya Hills ( 5 Nov 2010 )



Perancangan spontan telah membawa aku bersama famili menjelajah kembali laluan yang pernah aku ‘tempuhi’ hampir 2 tahun sewaktu berulang alik dari Gemas ke Bentong. Dari Pasir Besar,Gemas bergerak menempuh Bahau, Pasoh, Simpang Pertang(N.9) memasuki gerbang sempadan Pahang - Simpang Pelangai, Mancis, Telemong terus ke Karak melalui Lebuhraya Karak-KL, kesian anak-anak ‘pening kepala’ melalui jln berliku tersebut, sekurang2nya dapatlah mengetahui bagaimana ayahnya dahulu jam 4.30 pagi dah bergerak meredah jln tsb hampir 2 tahun..hehehe…kami singgah bermandian di Hutan Lipur Lentang. Sempat bersolat Jumaat di Masjid Lentang..dari hutan lipur meredah terowong dan melalui kawasan Jabatan Perhutanan Lentang kira-kira 1 km untuk sampai ke masjid.

Jam 2 ptg, bergerak ke kws Berjaya Hills (Bukit Tinggi) , exit 805 untuk menerjah kira-kira 10 km untuk sampai ke sana. Kami singgah dahulu di Rabbit Park, bayaran pukul rata RM3 dikenakan. Sama sahaja tatkala kesini 3 tahun lepas, ada arnab, rusa dan tunggangan keldai. Selepas itu bergerak ke Colmar Tropicale, bayaran dewasa RM 12 dan kanak-kanak RM 8 (meliputi lawatan ke Japanese Village dan Botanical Garden).

                                          
                                                            
Meletak kenderaan di Le Chevalier, kemudian menaiki ‘shuttle bus’ ke Botanical Garden. Hampir 2 jam menjelajah Botanical Garden dan Japanese Village yang mengandungi Japanese garden, Tatami Spa, Japanese tea house. Kali ini meneroka hingga ke penghujung (kws pelantar pemandangan). Botanical Garden. Nyaman suasana. Banyak spesis flora meliputi bunga seperti spesis Begonia, Prayer Plant, orkid harimau dan pokok seperti penarahan, mempening, damar hitam sengkawang putih di lihat dan sempat mengambil gambar untuk rujukan. Teringat masa di Bkt Fraser, meninjau2 lereng bukit disitu dan terjumpa sarang ‘door trap’ Tarantula Spider..ermm..Jam 5 petang bergerak turun untuk ronda2 di Colmar Tropicale, struktur binaan yang mirip dengan Colmar di Perancis. Hampir sejam meronda, harga air dan makanan…ermmm mahal ma,mayb ats bukit gaknye..tapi sekurang2nya jgn asyik nak fikir untung je…taikun berjaya hills kene juga buat kebajkan , air tin soya rm 6, air minuman aktif rm 3, ais krim cornetto rm 5. Pelbagai jenama Perancis bagi kedai2 makanan seperti Le Poulet Roti, Le Flamme, L’ Orient, La Bistro dan jenama jepun Ryo Zan Tei Restaurant.

Jam 6 petang, turun untuk satu lagi penjelajahan kembali ke Gemas. Speedo meter sejauh 170km..mengambil masa lebih kurang 2 jam 30 minit mengakhiri sepetang di Colmar Tropicale, Berjaya Hills A’ French – themed Resort…ntah bila kan kembali kesana?

                         



04 November, 2010

Bukit Fraser-19-21 Okt 2010

JURNAL LAWATAN KE BUKIT FRASER, PAHANG

Black Eagle Team

The Little England of Malaysia nama yang sinonim dengan Bukit Fraser. Dengan latarbelakang bangunan berkonsepkan Inggeris, pasti menimbulkan nostalgia kepada pengunjung. Apatah lagi jika disingkap sejarah nama Bukit Fraser adalah dari nama seorang peniaga Scotland, Louis James Fraser yang merupakan pencari dan pembeli bijih timah dari pelombong berbangsa Cina di sekitar hulu Sungai Sempam pada tahun 1880an. Pembangunan Bukit Fraser sebagai destinasi percutian berhawa dingin bermula pada tahun 1917 oleh Kerajaan British pada masa itu dan sehingga kini berbagai-bagai pembangunan telah dilaksanakan oleh Kerajaan Pahang dan Malaysia. Di antara tarikan pelancongan utama disini adalah bangunan dan banglo lama bercirikan rekabentuk British, merentas denai(trail), aktiviti mengecam burung (birdwatching) dan tempat percutian tanah beriklim sederhana dengan suhunya yang sejuk antara 17-24 celcius serta jauh dari kesibukan kota. Puncak tertinggi Bukit Fraser ialah 1,280 meter dari aras laut.

Kali ini kami berpeluang untuk meneroka pengalaman di kawasan tanah tinggi dengan tarikan tersendiri apabila mengadakan lawatan praktikal ke Bukit Fraser pada 19 Oktober sehingga 21 Oktober 2010. Setelah pelbagai urusan penempahan, logistik selesai, maka sebagai pelatih Kursus Usahawan Pelancongan Siri 1/2010 peluang untuk menjejak kaki ke The Little England of Malaysia diharapkan akan membuka minda tentang satu lagi produk pelancongan kawasan tanah tinggi.

Hari Pertama – Selasa (19 Oktober 2010)

Kali ini lawatan praktikal agak berbeza kerana kami terpaksa membawa sendiri keperluan bahan-bahan untuk memasak. Semua pelatih berkumpul di Dewan Makan PERHEBAT untuk memunggah bahan-bahan basah seperti ayam,daging lembu, sayur-sayuran. Bahan-bahan kering seperti beras, tepung, minyak telah diambil lebih awal. Segala bahan-bahan dipunggah ke dalam ‘perut’ bas. Setelah segala keperluan diperiksa, bas PERHEBAT, sebuah pacuan empat roda, sebuah kereta dan dua buah motorsikal berkuasa tinggi bergerak meninggalkan Sungai Buloh jam 0845 pagi dengan memasuki Tol di Hospital Sungai Buloh melalui Lebuhraya Utara-Selatan, kami singgah sebentar untuk menikmati minum pagi di Hentian Rehat Rawang. Lawatan kali ini turut disertai 4 pelancong tempatan iaitu Tony, Chot, Raj dan Faiz yang merupakan kenalan Cikgu Zulkifli yang amat mengharap sesuatu input akan diperolehi bila bersama dengan rakan-rakan beliau yang mempunyai pengalaman dalam industri pelancongan. Kami mula meninggalkan hentian rehat tersebut dan menyusuri keluar Tol Bukit Beruntung jam 0950 pagi, meredah laluan jalan raya dan tiba di Kuala Kubu Bharu jam 1025 pagi, merentas Empangan Hulu Selangor dan jambatan besi Sungai Chiling untuk melalui jalan berliku ke Bukit Fraser.

Perjalanan melalui jalan sempit dan berliku menuju ke Bukit Fraser terasa begitu panjang, akhirnya terlerai bila tiba di pintu pagar old gap. Apa yang unik laluan ke Bukit Fraser adalah peraturan masa yang ditetapkan untuk kenderaan naik dan turun . Kami sampai di kawasan tersebut antara waktu kenderaan dibenarkan naik ke atas iaitu antara jam 11 pagi sehingga 1140 pagi dan kelesuan melalui jalan berliku terlerai apabila melihat menara jam Bukit Fraser yang menunjukkan jam 1145 pagi. Setelah melepas lelah sebentar melalui jalan dari old gap ke Bukit Fraser sejauh kira-kira 8 km, akhirnya kami bergerak ke penginapan iaitu Rumah Peranginan Persekutuan Bukit Fraser di Jalan Girdle, sebuah Banglo 6 bilik yang cukup cantik tersergam. Kami menginap di Banglo B dan saya bersama 4 lagi teman berkongsi bilik 4B.

Apa yang menarik kali ini, terserlah semangat esprit de corp antara kami. Ini dapat dilihat dari awal ketika sama-sama memunggah bahan keperluan masakan dan menikmati makan tengahari dengan berselera hasil air tangan rakan-rakan. Masih teringat menu ikan goreng nyok-nyok bersos, ikan masin, sayur petola sudah cukup menyelerakan. Setelah berkemas, masing-masing sibuk untuk aktiviti petang. Kami berkumpul di hadapan banglo untuk menaiki bas ke pusat bandar Bukit Fraser.

Jam 4.45 petang kami bergerak untuk satu lagi pengalaman meneroka laluan di Bukit Fraser serta aktiviti birdwatching. Kami berkumpul di pusat bandar dan kami diperkenalkan oleh Cikgu Zul, seorang pemandu pelancong berbangsa India iaitu Mr. Durai, dianggap pakar dalam aktiviti birdwatching. Beliau telah hampir 20 tahun lebih terlibat dalam aktiviti tersebut serta mempunyai pengalaman luas dan arif tentang Bukit Fraser, malahan pernah beberapa kali menerima jemputan bagi seminar tentang burung di luar negara seperti Singapura dan New Zealand. Kemahiran mengenal spesis burung dan membunyikan siulan burung begitu di kagumi. Malahan boleh dianggap sebagai aktivis dalam memperjuangkan habitat spesis burung di Bukit Fraser. Dengan hampir 250 spesis burung yang dikenalpasti di kawasan tersebut, peluang mendapat input, tip dalam birdwatching dari seorang yang dianggap pakar burung adalah satu pengalaman yang begitu berharga.

Kami menyusuri Jalan Genting dan kelihatan sepanjang laluan Masjid Sultan Mahmud, Pejabat Perbadanan Bukit Fraser, Banglo Cini, Silver Park Apartmen, Banglo Temerloh dan melalui Jalan Ledegham kelihatan Bishop Trail. Sepanjang laluan, Mr. Durai turut memberi penerangan tentang spesis burung malahan sejarah Bishop Trail turut diketahui. Hampir 10 spesis burung dapat dilihat sepanjang bersama beliau. Antaranya Black Eagle, Mountain Imperial Pigeon, Mountain Fulvetta, Little Cuckoo Dove, Oriental Magpie Robin, Little Spiderhunter, Grey Wagtail. Kepelbagaian spesis burung di Bukit Fraser amat mengagumkan, meskipun pertama kali terlibat aktiviti tersebut, keindahan fauna di darat amat indah sekali seperti pertama kali melihat kepelbagaian spesis ikan di Pulau Kapas. Hujan renyai yang turun membuatkan aktiviti petang itu terganggu dan kami beteduh sebentar di pondok berhadapan dengan The Paddock, satu lagi kawasan tarikan dengan aktiviti berkuda dan memanah di situ. Pengalaman sepetang bersama Mr. Durai begitu berharga khususnya melihat kesungguhan beliau dalam menjaga aset utama Bukit Fraser iaitu habitat kepelbagaian spesis burung. Kami bergerak balik dengan bas, kembali ke penginapan dengan pengalaman baru - aktiviti menyeronokkan birdwatching yang pertama kali dirasai.

Sebelah malam setelah menikmati makan malam, jam 9.30 kami berkumpul di ruang tamu untuk sesi taklimat oleh tenaga pengajar. Kami dibahagikan kepada 4 kumpulan dengan nama-nama kumpulan yang dipilih sendiri iaitu kumpulan Black Eagle, Eagle Nest, Oriental Magpie Robin dan Black Hornbill. Pelbagai input diberi oleh Cikgu Zul, antaranya etika dalam birdwatching, peluang kerjaya Nature guide dalam Birdwatching, lokasi tumpuan untuk aktiviti birdwatching seperti di Taman Negara, Kuala Gula, Kuala Selangor dan Taman Kinabalu. Taklimat ringkas untuk aktiviti esok hari iaitu birdwatching ke kawasan laluan old gap, Jelai Highland Resort dan mandi-manda ke Air Terjun Jeriau turut diberikan bagi mengakhiri sesi sebelah malam. Udara nyaman, persekitaran menyegarkan, jauh dari kesibukan kota menyebabkan tidur kami tambah lena dibuai igauan bertemu burung-burung yang lebih menawan esok hari.

Hari ke dua – Rabu (20 Oktober 2010)

Setelah menikmati sarapan, jam 7 pagi kami berkumpul di hadapan banglo untuk menaiki bas bagi meneruskan sesi birdwatching, kali ini bas membawa kami ke pusat bandar di kawasan letak kereta. Setelah taklimat ringkas diberi, kami bergerak bersama kumpulan masing-masing menyusuri jalan old gap. Pada pagi ini, bersama rakan dalam kumpulan Black Eagle, pelbagai spesis burung dapat dilihat dan dicam sepanjang menyusuri jalan tersebut. Bahkan hasrat untuk melihat maskot tidak rasmi Bukit Fraser, burung silver eared mesia akhirnya tercapai, warna-warni bulu burung tersebut menonjolkan betapa keagungan indahnya ciptaan Allah. Antara spesis burung lain ialah ashy bulbul, black laughingthrush, mountain bulbul. Setelah menyusuri jalan old gap, kami bergerak beramai-ramai menaiki bas menuju ke lokasi baru iaitu di kawasan Jelai Highland Resort hingga ke Banglo Maybank. Di situ kelihatan satu lagi tarikan Bukit Fraser iaitu kawasan riadah Allan’s Water yang menawarkan aktiviti menaiki bot. Sepanjang laluan tersebut, lebih banyak jenis burung dapat dilihat, antaranya Black Throated Sunbird, Streaked Spiderhunter, Grey Chinned Minivet (male and female), Fire Tufted barbet. Lokasi tersebut memang menawarkan kepelbagaian jenis burung untuk diperhatikan. Kami kembali semula ke penginapan untuk menikmati tea break.

Dan setelah menikmati makan tengahari, masing-masing membawa haluan sendiri, saya dan beberapa rakan bertuah kerana dapat melihat sejenis spesis burung hantu iaitu burung pungguk kerdil (collared owlet) pada jam 3.30 petang, yang dicatatkan antara spesis burung hantu yang terkecil di dunia dengan ukuran saiz 16cm dan sukar untuk dicari. Lokasi yang dilihat adalah di sebelah belakang kanan banglo penginapan kami. Boleh dikatakan kawasan tersebut juga merupakan kawasan yang sesuai untuk aktiviti birdwatching kerana terdapat pelbagai spesis burung yang hinggap di pohon-pohon kawasan tersebut.

Jam 4.45 petang kami berkumpul semula untuk ke Air Terjun Jeriau, satu lagi tarikan Bukit Fraser bagi membawa keluarga untuk berkelah. Laluan berliku dengan jalan yang sempit benar-benar menguji kecekapan pemanduan. Jarak perjalanan dari pusat Bandar ke kawasan tersebut sejauh 4.5 km. Dalam perjalanan, kami sempat singgah untuk melihat, bergambar di Ye Olde Smokehouse, hotel yang berkonsepkan rekaan Inggeris, hiasan dinding berwarna putih dan perabot ala Inggeris, pengekalan bangunan lama menimbulkan nostalgia - gaya British di Bukit Fraser.

Setelah sesi bergambar di Smokehouse, perjalanan diteruskan untuk mandi manda di Air Terjun Jeriau dan kami tiba di sana kira-kira jam 5.35 petang. Untuk sampai ke kawasan kolam air terjun, kami terpaksa berjalan kaki kira-kira 500 meter namun agak hampa apabila air di situ agak cetek mungkin akibat kerja-kerja penambahbaikan infrastruktur di kawasan tersebut. Dapat dilihat kerja-kerja naik taraf tandas awam, pembinaan empangan kecil, memungkinkan air di kawasan kolam utama cetek. Terasa juga kehampaan bagi mereka yang benar-benar ingin bermandian, mungkin pada awal tahun hadapan segalanya akan kembali pulih seperti sediakala. Kami berada di kawasan tersebut kira-kira 30 minit dan bergerak balik dengan diiringi hujan renyai dan sempat singgah di Medan Selera Bukit Fraser untuk menikmati minum petang.

Untuk aktiviti sebelah malam adalah BBQ, menu yang disediakan oleh rakan-rakan begitu menyelerakan, Selain menikmati makan malam secara santai di perkarangan banglo, diselit juga nyanyian lagu-lagu karaoke. Malam ke dua diakhiri dengan sesi menguji minda yang disediakan oleh kumpulan Gambir Sarawak, menguji minda akan apa yang di pelajari sepanjang 2 hari sesi birdwatching, meskipun hanya 4 soalan yang diajukan , pelbagai gelagat dapat dilihat, sesekali seronok melihat masing-masing berebut untuk memberi jawapan, yang pasti apa yang dilihat, dibaca, didengar tidak sia-sia kerana masing-masing mampu memberi jawapan pada tiap persoalan.

Hari ke tiga – Khamis ( 21 Oktober 2010)

Aktiviti hari ini berterusan dengan birdwatching. Kumpulan masing-masing telah mula berkumpul sejak jam 0715 pagi di hadapan banglo. Aktiviti hari ini hanya tertumpu sekitar kawasan Telekom Loop, salah satu lokasi yang di anggap menarik untuk peminat burung. Setiap kumpulan bergerak bebas sepanjang laluan tersebut, memang terdapat pelbagai spesis burung, ada yang pernah dilihat dua hari sebelumnya dan spesis baru dilihat. Antaranya burung cecawi gunung (lesser racquet tailed drongo), burung murai hitam merah (black and crimson oriole) dan burung belatuk kecil jambul kuning (Lesser yellownape). Tanpa sedar kami berjalan hampir 8km, mengelilingi kawasan Telekom Loop. Banyak input baru yang diperolehi, seolah-olah satu penghargaan atas usaha kami untuk meneroka tarikan laluan tersebut sebagai pemerhati burung.

Antaranya ketika menyusuri laluan di Banglo Buona Vista, dapat melihat flora yang dipanggil honey dew, manakala ketika di Banglo Kaniska, pemiliknya Mr Anthony sempat berkongsi pengalaman beliau sebagai pemerhati burung. Dan yang paling penting, beliau turut menunjukkan lokasi sarang labah-labah berbisa iaitu tarantula (nocturnal) pada dinding bukit berhadapan banglo Kaniska. Sedikit maklumat, bagaimana bentuk sarang labah-labah tersebut. Beliau turut memaklumkan yang habitat labah-labah tersebut turut terancam akibat pemodenan serta menjadi tarikan kepada pengemar haiwan eksotik untuk mengambil tanpa kebenaran.

Akhirnya info tersebut menyebabkan kami tercari-cari bentuk sarang labah-labah tersebut sepanjang perjalanan balik dan akhirnya terjumpa terdapat banyak bentuk sarang labah-labah tersebut di dinding bukit di Jalan Girdle (kawasan berhadapan pembinaan banglo baru). Setelah melihat dan bergambar, akhirnya perjalanan kami sekitar Telekom Loop untuk kembali ke Banglo B, tanpa sedar memakan masa hampir 3 jam. Penat akhirnya terlerai apabila menikmati juadah makan tengahari yang siap terhidang.

Setelah selesai segala kerja pembersihan dan siap berkemas, kami meninggalkan Rumah Rehat Persekutuan Bukit Fraser pada pukul 1 tengahari untuk berhenti sebentar di bulatan pusat bandar bagi membeli cenderahati. Kami bergerak turun pada jam 2 petang . Saya bersama Ali, Zul dan Anuar dalam pacuan 4 x 4, meredah perjalanan yang sama untuk kembali ke Sungai Buloh dan berhenti sebentar di Kuala Kubu Bharu untuk menikmati minum petang dan selamat sampai kira-kira jam 4.30 petang dengan banyak kenangan manis dari Bukit Fraser yang serasanya tidak akan diperolehi jika bercuti di tempat lain.

Save the Green Lungs

Check out this SlideShare Presentation: