01 June, 2012

Jun/Rejab/Syaaban



Salam Bulan Jun 2012. Bulan Mei berlalu meninggalkan 1001 kenangan. Kisah suka duka kehidupan jadi rencah pelayaran hidup ku. Mengimbau kenangan di Negeri Sembilan, sebelum berpindah ke rumah sendiri di Taman Serkam Maju, rumah yang telah dibeli sejak 2001 namun hanya dapat menjenguk untuk tiap hujung minggu. Anak bujangku  Qwan pun lahir di Hospital Tuanku Najihah, Kuala Pilah setelah berturutan 'hatrik' dikurnia puteri..syukur alhamdulillah. Kenangan hampir 20 tahun bermula di Senawang, Port Dickson, Gemas pasti meninggalkan nostalgia indah sebelum bergelar 'Abang Pencen'...kehidupan berkeluarga di Taman Tasik Jaya, Kuarter SMK Pasir Besar tetap terpahat di sanubari. Tahun 2012 benar-benar memberi ruang untuk aku meniti hidup bersama keluarga tercinta, lewat 6 tahun sebelum bersara terpaksa duduk berjauhan. Teringat meredah dingin subuh, merentas laluan ke Bentong, merentas laluan Kg. Pilin, merentas Lebuhraya NKVE ke Sungai Buloh..apa yang dinikmati benar-benar membuatkan aku rasa syukur ke hadrat Allah s.w.t kerana masih diberi ruang kehidupan bersama keluarga tersayang.

Penghujung Mei bersama famili meredah kembali Bandar Johor Bahru untuk meraikan pasangan pengantin baru : Fadzilah dan Shafiz,  kenangan di Bandar Baru UDA, Taman Merdeka, Plaza Angsana, Kg Pasir (Tampoi), Johor Premium Outlet (JPO) membuat diri teruja, merapatkan ikatan silaturahim, berkonvoi bersama.

Antara aktiviti menarik Bulan Jun :

Fiesta Sungai Melaka : 1 Jun - 31 Jun 2012 : Dataran Sungai Melaka dan Taman Rempah Melaka. Pelbagai aktiviti menarik menanti anda terutama kepada warga kota Melaka untuk bersama-sama menghadiri Fiesta Sungai Melaka.

Istiadat Mengarak Panji-panji SPB Yang Di-Pertuan Agong : 3 Jun 2012 : Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Junjung kasih kepada SPBY Agong dengan segala titahnya buat Seri Paduka Tuanku AlHaj Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah bersempena hari keputeraan baginda. Bersama-sama kita saksikan acara penuh beristiadat ini.

Sambutan Rumah Terbuka Tadau Kaamatan : 3 Jun 2012 : Sabah. Tadau Kaamatan adalah perayaan menuai di negeri Sabah yang diadakan sebagai penanda berakhirnya musim menuai. Pengunjung boleh menyaksikan tarian tradisional dan persembahan menarik di majlis ini.

Sambutan Rumah Terbuka Gawai Dayak : 9 Jun 2012 : Sarawak : Sambutan selepas berakhirnya musim menuai padi dengan limpahan kebaikan yang melimpah ruah dalam kebudayaan kaum Dayak.

Festival KK Jazz : 15 Jun - 16 Jun 2012 : Kota Kinabalu, Sabah : Bagi peminat irama Jazz, datanglah ke Sabah untuk menghayati dendangan lagu yang diutarakan. Selamat melawat ke negeri bawah bayu ini.

Perlumbaan Burung Kebangsaan Bukit Fraser (BirdRace) : 23 Jun - 24 Jun 2012 : Bukit Fraser, Pahang. Acara ini bukan perlumbaan burung tetapi perlumbaan bagi manusia mengenalpasti seberapa banyak spesis yang ada.Terdapat tiga kategori iaitu : kategori canggih, kategori baru dan kategori tempatan.

Festival Perahu Naga : 30 Jun - 1 Julai 2012 : Empangan Teluk Bahang, Pulau Pinang.  Raikan festival ini beramai-ramai dengan perahu naga yang unik di Pulau Pinang.

Putrajaya Floria : 30 Jun - 8 Julai 2012 : Putrajaya. Saksikan kemeriahan festival bunga-bungaan di Putrajaya. Pasti menarik.

1 Malaysia International Tourism Night Floral Parade : 30 Jun - 8 Julai 2012. Saksikan perarakan kereta berhias yang pasti menarik dan bergemerlapan di sini.

Apapun selamat menempuh bulan Jun/Rejab/Syaaban. Semoga kehidupan kita sentiasa dipayungi rahmat daripada Allah s.w.t


No comments:

Post a Comment