25 June, 2015

25 Jun 2015 : Setem Keluaran Khas Pos Malaysia : Burung Pucung


Hari ini Pos Malaysia telah mengeluarkan Setem Keluaran Khas bertemakan alam fauna : Burung Pucung. Kali terakhir tema burung dikeluarkan adalah pada 13 Januari 2013 iaitu Burung Belatuk.

Setem Keluaran Khas dikeluarkan bagi menggambarkan unsur-unsur unik yang terdapat di Malaysia seperti alam flora dan fauna, budaya tempatan dan seni bina negara.

Bagi pengumpul Sampul Surat Hari Pertama (FDC) pasti tidak melepaskan peluang untuk menambah koleksi. Begitu juga aku, pada hari ini jam 0840 pagi sudah ke Pejabat Pos Merlimau untuk membeli FDC namun hanya dapat membeli 2 keping FDC, denominasi setem 60sen, 70sen dan 80sen manakala Lembaran Mini setem yang bernilai RM5 telah habis dijual.

Ingat awal lagi, rupa-rupanya ada juga pengumpul tegar FDC di Merlimau yang telah beratur lebih awal untuk membeli FDC dan setem. Untuk sekian kalinya, bergerak ke Pejabat Pos Besar Melaka yang jauhnya kira-kira 22km untuk melengkapkan koleksi.

Dan sekian kalinya melihat ramai berbaris panjang di kaunter jualan setem. Memang ramai pengumpul tegar FDC di Melaka. Teringin pula membeli folder Setem Burung Pucung namun tidak kesampaian kerana telah habis terjual. 

Entah bila lagi setem bertemakan Burung akan muncul dalam senarai setem keluaran khas Pos Malaysia.

Burung Pucung merupakan sejenis burung yang tergolong dalam spesis Ardeidae. Terdapat 64 spesis Burung Pucung dikenalpasti di seluruh dunia dan biasanya dijumpai di kawasan perairan air tawar dan tepian pantai. Terdapat 19 jenis spesis Ardeidae di Malaysia dan 7 daripadanya boleh ditemui di Taman Alam Kuala Selangor.


Sampul Surat Hari Pertama dan Setem 60sen,70sen, 80sen
Lembaran Mini Setem RM5
Info bermanfaat


Selamat mengumpul koleksi, semoga kehidupan kita semua dirahmati dan diberkati Allah SWT.

No comments:

Post a Comment