23 June, 2014

Libur di Putrajaya : Jun 2014

21 Jun 2014 : Idea spontan mengisi hujung minggu ke Floria 2014 di Presint 4 Putrajaya. Terus mencari info dalam internet hotel bajet berhampiran lokasi, terbaca maklumat Hotel Bajet Mihrab Presint 15, baru sebulan beroperasi ikut staf di situ. Hajat sebenar nak lihat Magic of Nite Floria, tidak pernah ke Floria waktu malam. Apa pun akhirnya sampai juga ke Presint 15 jam 5 petang...budak-budak bersekolah hari Sabtu bagi cuti ganti Aidilfitri. Melilau juga nak cari arah ke Hotel Mihrab (berhadapan Pasaraya Mydin) Apa pun anda yang menginap di sini tidak perlu risau untuk menjamu selera, restoran mamak, ala thai, char kuey teow, sizzling berdekatan bersedia untuk menyajikan anda ...janji fulus. Menjengah Floria 2014 di sebelah malam menyajikan suasana yang berbeza, malam tersebut sesak dengan pengunjung. Sempat juga membeli anak pokok bunga begonia : bunga tema tahun ini. Malam minggu lepas yang berbeza di Putrajaya.



Ikhwan di Floria Di Raja 2014 
Sesak dengan pengunjung


Sun Bear / Beruang matahari



Selamat berlibur ke Putrajaya.......dan ke Muzium Alam Semulajadi Presint 15. Bayaran RM 2 bagi dewasa.
Muzium Alam Semulajadi mengumpulkan dan mempamerkan kekayaan khazanah alam di Malaysia yang merangkumi tumbuh-tumbuhan, batu-batuan dan fosil. Kunjungilah Muzium...www.jmm.gov.my

01 June, 2014

Jun 2014M/Syaaban/Ramadhan 1435H

Sudah masuk pertengahan tahun 2014..pantas masa berlalu, bermacam nostalgia suka duka ditempuh. Bulan Jun bulan yang bakal ditempuh penuh peristiwa, cuti persekolahan..pelbagai musim tercipta musim perkahwinan, musim berlibur..dan penghujung bulan disambut dengan Ramadhan Al Mubarak..moga bertambah nilai keimnan dalam diri.

1 Jun tarikh lapor diri Khairina ke UiTM Kampus Seremban 3 manakala 10 Jun tarikh jawapan Institut Pendidikan Guru....moga pilihan anakanda ku untuk mencapai cita-cita berkerjaya dalam bidang pendidikan akan terlaksana..ayah dan ibu sentiasa mendoakan yang Terbaik untuk anak-anak dan semoga impian untuk meneruskan pengajian PISMP di IPG akan termakbul..insyaallah : kita hanya merancang Tuhan penentu segalanya..

Cuti Persekolahan bermula : anak-anak dah mula merisik-risik ke mana arah kali ini...percutian tanah tinggi atau ke selatan tanahair Taman Tema Legoland namun segalanya ternoktah setelah jawapan IPG Kak Long pada 10 Jun nanti...Ya Allah permudahkanlah segala urusan anak-anak ku..

Berikut antara aktiviti menarik Bulan Jun 2014 :

Gawai Dayak Festival : 01 dan 02 Jun : Seluruh Sarawak : Perayaan musim menuai yang diraikan masyarakat peribumi Sarawak terutama Kaum Iban dan Bidayuh dengan memakai pakaian tradisi mereka.

Penang Durian Fair : 01 Jun - 31 Julai 2014 : Anjung Indah, Balik Pulau dan Penang Times Square : Pencinta Raja Buah tidak harus melepaskan peluang untuk berkunjung ke Penang Durian Fair bagi menikmati sendiri keenakan buah durian di sepanjang Bulan Jun dan Julai.

The Voice Of Nature "Birds and Bush Cricket Festival" : 06 Jun - 07 Jun 2014 : Langkawi, Kedah : Pertandingan nyanyian burung dan kicauan cengkerik dengan menyaksikan saingan sengit ratusan peserta dari Malaysia, Thailand, Indonesia dan Singapura. Penghakiman adalah berdasarkan kemerduan dan melodi kicauan burung manakala bagi cengkerik berdasarkan irama dan juga daya tahan (panjang kicauan).

TRAIL : Georgetown World Heritage City Celebration by UNESCO : 07 Jun - 07 Julai 2014 : Esplanade, Penang : Perayaan selama sebulan sempena penganugerahan Georgetown sebagai UNESCO World Heritage List of Cities and Nights yang berprestij bagi kegemilangan nilai sejagat. Pelbagai aktiviti kebudayaan, muzik, kraftangan menanti pengunjung.

Sabah Dragon Boat Race : 07 Jun - 08 Jun 2014 : Teluk Likas, Sabah : Dianjurkan sempena Festival Duan Wu, tradisi cina ini telah berkembang menjadi acara sukan terpenting di Sabah. Anda pasti teruja melihat bot naga yang dikemudi pantas sambil diiringi paluan gendang.

Sunset Music Festival : 10 Jun - 21 Jun 2014 : Tanjung Simpang Mengayau, Kudat, Sabah : Kembara muzik di Tg Simpang Mengayau Kudat, Sabah dikenali sebagai " Tip of Borneo". Nikmati dendangan lagu klasik dan kontemporari.

KK Jazz Festival : 13 Jun - 14 Jun 2014 : Sutera Harbour Resort, Kota Kinabalu, Sabah : Extravaganza muzik yang dinantikan oleh seluruh peminat genre jazz di Malaysia. Persembahan artis tempatan dan antarabangsa.

Floria Putrajaya 2014 : 14 Jun - 22 Jun 2014 : Pesisiran Presint 4, Putrajaya : Festival bunga dan taman yang sentiasa dinanti-nantikan. Bertemakan "Pesona Warna". Bunga Tema Floria 2014 adalah bunga Begonia atau asam batu yang berasal dari iklim lembap subtropika dan tropika. Lawatan umum mulai 14 Jun - 22 Jun 2014 dari 9 pagi - 10.30 malam (Isnin - Khamis) dan dari pukul 9 pagi - 12 tengahmalam (Jumaat - Ahad)

Magic of The Night : 14 Jun - 22 Jun 2014 : Marina Putrajaya : Serikan malam anda dengan kilauan lampu bot-bot tema berhias yang memaparkan identiti Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan terkemuka di dunia.

Fraser's Hill International Bird Race : 20 Jun - 21 Jun 2014 : Bukit Fraser, Raub, Pahang : Acara tahunan ini telah memasuki tahun yang ke 27 dan merupakan aktiviti yang dinantikan buat peminat 'bird racing'. Terkenal sebagai destinasi memerhati burung bertaraf dunia di rantau ini kerana ia adalah habitat kepada 247 spesis burung. Selamat berlibur dan meneropong/mengecam burung tempatan dan luar negara.

Rainforest Worldmusic Festival : 20 Jun - 22 Jun 2014 : Sarawak Cultural Village, Kuching, Sarawak : Dengarkan irama muzik etnik yang pelbagai di tengah-tengah hutan hujan yang indah di Sarawak.

Hari Gawai Open House : 21 Jun 2014 : Kuching, Sarawak : Program bersama orangramai untuk meraikan Tadau Kaamatan dan Gawai Dayak dan untuk memupuk keharmonian dan perpaduan masyarakat.

San Pedro Festival : 23 Jun - 29 Jun 2014 : Perkampungan Portugis, Ujung Pasir, Melaka : 
Satu tradisi nelayan Portugis disambut oleh penduduk tempatan yang tinggal di Kampung Portugis, Melaka.
Demonstrasi masakan dan tarian tradisional semasa perayaan ini pasti memeriahkan lagi festival ini.

Borneo Bird Race : 28 Jun - 30 Jun 2014 : Borneo Highland dan Taman Negara Mulu, Sarawak :
Istimewa buat pencinta burung dan haiwan yang gemar mendampingi alam semulajadi dan hutan hujan tropika.

*Kredit Majalah Libur Jun 2014 dan Sisipan Santai HMetro.

Akhirkata selamat menempuh Bulan Jun/Syaaban dan Ramadhan...semoga kehidupan kita semua sentiasa dirahmati dan diberkati Allah swt  dan Selamat menyambut Bulan Ramadhan Al Mubarak.